Soalan:
Adakah wang umum ( misalnya wang persatuan / wang kutipan ) yang akan digunakan untuk buat sesuatu projek dan disimpan cukup haul dikenakan zakat?
Halim, Ipoh
Jawapan:
Ulamak telah bersepakat di antara syarat wajib zakat itu ialah pemilikan yang sempurna. Untuk itu harta yang tidak dimiliki oleh individu tertentu seperti harta rampasan perang, harta rompakan, keciciran dan sebagainya tidak dikenakan zakat. Begitu juga harta awam, kerana hukumnya seperti harta Baitul Mal, manakala harta persatuan tertentu atau untuk projek tertentu tidak dihukumkan sebagai harta awam, kerana kegunaannya untuk golongan tertentu sahaja, kedudukannya boleh diumpamakan sebagai harta syarikat.
Jika harta ini diniagakan dan mendapat keuntungan, hendaklah dikeluarkan zakat darinya, kerana menurut Al-Qardawi dalam bukunya Fiqh Az-Zakat sebab-sebab diwajibkan zakat pada sesuatu harta itu ialah kerana ia bertambah. Ini didasarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud: "Ambillah dari harta mereka zakat semoga ia menjadi suci dan akan bertambah jumlahnya." ( Surah At-Tawbah ayat 103). Sebaliknya harta umum yang tidak bertambah kerana tidak diniagakan, tidak perlu dikeluarkan zakat, kerana ia sentiasa berkurangan kerana digunakan untuk menampung kegunaannya. Jadi bebannya akan bertambah dengan mengeluarkan zakat.
Sabda Rasulullah SAW, "tidak diwajibkan ke atas orang Islam mengeluarkan zakat dari kudanya dan hamba abdinya." Hadis riwayat imam Muslim. Imam An-Nawawi ketika membahaskan hadis ini mengulas: Hadis ini menjadi asas yang jelas bagi menunjukkan harta yang beku atau harta tidak berkembang tidak dikenakan zakat.
ada sebarang persoalan ? click di sini.

Post a Comment